Umno cuba menjadi juara di Selangor dengan menggunakan isu ternakan babi secara moden di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat, di saat parti itu kecundang dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu sekaligus negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR).Umno tahu ia tidak perlu dipolitikkan tetapi ia mahu memperolehi 'political interest' (keuntungan politik)murahan dan mengajak semula sokongan orang Melayu terhadap parti itu di saat sokongannya terhakis.
Projek Ternakan Babi Moden menalan belanja RM100 juta sumbangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu diluluskan di zaman Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor sebelum pilihan raya umum tersebut lagi.
Apa lagi berita terbaru menunjukkan bahawa Umno sendiri mendalangi perlaksanaan projek terbabit apabila dilaporkan bahawa “Syarikat bumiputera turut terlibat dalam projek penternakan babi di Selangor yang menimbulkan kontroversi minggu lepas dan seorang wakil rakyat Umno “di belakangnya," kata seorang pemimpin MCA.
Syarikat tersebut, yang terlibat dalam satu usahasama, bercadang menggunakan wang - dilaporkan menelan belanja RM100 juta - daripada sumber-sumber dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Mendedahkan perkara itu kepada satu sidang media hujung minggu lalu, ketua biro pertanian tradisi MCA Datuk Dr Lee Chong Meng berkata syarikat bumiputera itu berhasrat membawa masuk teknologi Jerman untuk projek tersebut.
Akhbar The Sun 14 April yang mengutip laporan The Oriental Daily kelmarin menyebut, wakil rakyat BN-Umno bagi kerusi Tajung Sepat, Datuk Karim Mansor, bersama seorang ketua kampung di situ turut bersama dalam rombongan ke luar negara untuk melihat teknologi tersebut.
Karim antara pemimpin Umno yang lantang menyuarakan isu itu di akhbar-akhbar berbahasa Melayu minggu lepas. Sementara ketua kampung itu turut menyertai bantahan projek tersebut di depan bangunan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.
Dengan laporan ini cukup jelas Umno cuba bermain api dengan isu babi. Parti itu boleh disifatkan sebagai melontar batu sembunyi tangan apabila cuba sembunyi punca sebenar siapa yang meluluskan projek berkenaan.
Zaman sekarang Umno sukar untuk sembunyikan fakta sebenarnya kerana ia boleh didedahkan di media terbuka termasuk internet.
Banyak maklumat tersembunyi yang tidak mahu akhbar atau media Umno dedahkan ia diperolehi dengan mudah melalui medium tersebut.
Bagaimanapun Utusan melaporkan, Selangor akan meneliti secara terperinci sama ada untuk meneruskan lokasi projek ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta itu di Sepang atau di kawasan lain di negeri ini.
Pengerusi Jawatan Kuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu berkata, penelitian tersebut dibuat setelah kerajaan negeri menerima cadangan daripada pihak-pihak tertentu yang mahu projek berkenaan dialihkan ke kawasan lain.
Katanya, keputusan untuk melaksanakan projek berkenaan masih belum diputuskan lagi kerana kerajaan negeri, ketika ini sedang mengkaji keperluan-keperluan tertentu yang membolehkan lokasi projek berkenaan diubah.
Bagaimanapun status projek itu setakat ini, katanya, masih mengikut perancangan dan lokasi asal iaitu di Ladang Tumbuk, Mukim Batu, Kuala Langat.
Malah, beliau turut difahamkan projek berkenaan membabitkan peruntukan di bawah dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bukannya daripada kerajaan negeri.
"Saya akan fikir dan teliti segala cadangan daripada semua pihak mengenai projek ini. Tetapi kawasan sedia ada (Ladang Tumbuk) sememangnya telah menjadi ladang ternakan babi sejak dahulu lagi dan kita masih kekalkan keputusan projek ini.
"Bagaimanapun, dalam masa yang sama kita juga akan meneliti secara terperinci sebarang cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pertemuan dengan wakil-wakil rakyat Parlimen Klang bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mislan Tugiu di sini hari ini.
Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dibawah Barisan Nasional dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipimpin YB Datuk Seri Dr. Khir Toyo pada 30 Januari 2008.
Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.
Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru, tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut.
Pada masa yang sama, menerusi projek ini, tiada ladang-ladang khinzir baru akan diluluskan di negeri Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini dikehendaki memindahkan operasi mereka ke Projek Modern Pig Farming.
Ini sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar sebarang usaha penternakan babi dilakukan di satu tempat untuk memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa.
Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar ‘one stop’ yang sama bagi penternakan yang lain bagi menjadikan industri penternakan lebih efisyen dan dapat diteruskan di sebalik kemajuan pesat Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor yang baru di bawah Pakatan Rakyat antara Keadilan, PAS dan DAP berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini dan melaksanakan dengan adil dan saksama dengan mengambilkira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.
Isu Kampung Baru
Sebanyak 16,637 hak milik telah diberikan kepada penduduk Kampung Baru di Negeri Selangor. Langkah ini dilaksanakan bersama beberapa insentif bagi menggalakkan mereka memperoleh hak milik. Tanah-tanah yang belum mendapat hak milik merupakan tanah yang berada di dalam rizab pantai yang mana sememangnya dasar kerajaan negeri untuk tidak memberi hak milik pada mana-mana pihak.
Pada masa yang sama, timbul masalah kilang tanpa lesen yang beroperasi di kawasan kampung baru. Kerajaan Negeri hanya akan memberikan hak milik untuk kegunaan kediaman dan bukannya industri atau perniagaan, dan berusaha mencari penyelesaian untuk kilang-kilang tanpa lesen di sana.
Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan penduduk Kampung Baru untuk meningkatkan infrastruktur dan menjaga kebajikan mereka sepertimana penduduk Selangor yang lain.
Pertindihan Pemberimilikan
Isu pertindihan pemberimilikan ini kebanyakannya berpunca dari masalah rekod tanah. Kebanyakannya berlaku di kawasan bandar atau separa bandar seperti Daerah Petaling dan Gombak.
Sebanyak 21 hakmilik di negeri Selangor berada dalam siasatan polis dan mahkamah pada waktu ini, dengan keluasan yang dianggarkan sekitar 7 ekar.
Kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo tidak membantu menyelesaikan masalah, kerana pegawai kerajaan rasa khuatir dan takut.
Menteri Besar akan bertemu dengan Pengarah Tanah dan Galian Negeri dan Pegawai-Pegawai Daerah untuk memastikan mereka meneruskan kerja mereka disamping membantu Kerajaan Negeri mengemaskinikan rekod tanah dan menyelesaikan masalah serius ini.
Jika wujud sebarang bukti salahlaku, Kerajaan Negeri akan membuat laporan polis bagi membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
Rizab Hutan
Sejumlah 241,568 hektar di negeri Selangor diklasifikasikan sebagai rizab hutan. Jumlah keluasan negeri Selangor ialah 796,084 hektar. Rekod Pejabat Tanah dan Galian mendapati sejumlah 4,325.5 hektar yang telah dibatalkan statusnya antara 2000-2007.
Pihak kerajaan negeri sudahpun mengarahkan Pejabat-Pejabat Tanah Daerah untuk mendapatkan senarai pihak yang memperoleh rizab tersebut dan siasatan mendalam akan dijalankan bagi memastikan tindakan tidak bertanggungjawab ini akan dapat diatasi segera.






